Akhlak pada Imam Ghazali mempunyai
pengertian tersendiri dan mempunyai batas pengertiannya sendiri. Pengertian
akhlak baginya mengenai cara-cara suluk, mengenai jalan mendekatkannya
kepada Allah sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam
dan ahli-ahli feqah.
Oleh sebab itu, beliau menggunakan banyak nama untuk akhlak itu.
Kadang-kadang beliau menambahnya jalan ke akhirat, sesekali menamakannya
sifat-sifat hati, pada suatu tempat lain beliau menggunakan kata rahsia
amal ibadat agama, bahkan pernah menggunakan sebutan budi pekerti yang
baik di mana ia dijadikan nama bagi sebuah karya karangannya iaitu Akhlak
al-Abrar.
Sebuah karangannya yang terpenting dan masyhur diberi nama Ihya’
Ulumuddin iaitu Pembangkit Ilmu-ilmu Agama. Kita dapat merumuskan maksud
akhlak di sisi Imam Ghazali berdasarkan kepada nama– nama di atas ialah
membentuk jiwa dan mengembalikannya kepada apa yang telah digariskan
oleh syariat Islam sebagaimana yang telah dilalui oleh ahli-ahli
mukasyafah dan ahli tasawwuf Islam serta apa yang pernah dilakukan oleh para
nabi, siddiqin dan para syuhada’ yang soleh.
Kadang-kadang Ghazali memperkuat pembahasan dan kupasannya dengan
menggunakan kata-kata Ibnu Adham, Al-Tustari, Al-Muhasibi dan ahli-ahli
Tasawwuf yang lain. Begitu juga tidak sedikit beliau menggunakan riwayat
para nabi seperti nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Isa dan lain-lain untuk
menjadi hiasan kepada huraiannya . Sebagai dasar budi pekerti manusia, Imam
Ghazali memberikan tiga sebab asas iaitu tafakkur membawa erti akal,
syahwat membawa erti hawa nafsu dan ghadab yang membawa erti marah.
Memperbaiki budi pekerti bagi Imam Ghazali ialah menuju keseimbangan
dalam menggunkan ketiga sifat asas tadi dan menyalurkan kepada perilaku
atau perangai yang baik. Didakwa bahawa tidak kesemua kelakuan yang baik
itu disukai oleh manusia bahkan sebaliknya kerapkali manusia itu
menggemari perbuatan yang buruk. Oleh sebab itu kadang-kadang kita terpaksa
mengambil yang buruk pada anggapan manusia dan meninggalkan yang baik
menurut ukuran mereka.
Sebuah hadis memperingatkan tentang perkara ini iaitu bermaksud :
Syurga itu diliputi dengan segala macam kebencian dan neraka itu diliputi
dengan segala macam keinginan.
Begitu juga dengan maksud firman Allah dalam ayat 216 surah Al-Baqarah
: Barangkali kamu membenci sesuatu sedangkjan yang demikian itu baik
untukmu, begitu juga barangkali kamu mencintai sesuatu sedangkan yang
demikian itu tidak baik untukmu Apa yang menjadi pegangan yang tegas
baginya mengenai kelakuan-kelakuan (khuluk) yang baik ialah ukuran-ukuran
yang telah dijelaskan oleh syariat Islam.
Katanya: " Ada pun budi pekerti yang baik itu dapat dicapai dengan cara
menghilangkan semua adat dan kebiasaan buruk yang telah diterangkan
dengan jelas satu-persatu oleh syariat. Menjauhkan diri daripadanya dengan
membencinya sebagaimana seseorang itu menjauhkan dirinya daripada
segala macam benda yang kotor disamping dia berusaha dengan
bersungguh-sungguh membiasakan adat dan kebiasaan yang baik sehingga memberi kesan
kepada jiwanya dan kemudian barulah dia merasakan nikmat dan kesenangan
daripada hasil usahanya itu".
Dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dijelaskan secara lebih mendalam
bahawa budi pekerti itu merupakan suatu naluri asli dalam jiwa sesorang
manusia yang dapat melahirkan suatu tindakan dan kelakuan dengan senang dan
mudah tanpa rekaan fikiran. Jika naluri tersebut melahirkan sesuatu
tindakan dan kelakuan yang baik lagi terpuji menurut akal dan syariat maka
ia dinamakan budi pekerti yang baik. Manakala apa yang sebaliknya di
mana naluri itu melahirkan sesuatu perbuatan dan kelakuan yang jahat maka
ia dinamakan budi pekerti yang buruk.
Pada asasnya budi pekerti itu ialah pancaran naluri jiwa semata-mata
untuk mempertahankan diri atau keinginan dalam melakukan sesuatu. Ukuran
di luar jiwalah yang menentukan buruk baiknya budi pekerti manusia itu.
Imam Ghazali memilih untuk ukuran ini ialah suatu ukuran yang tetap
iaitu syara’ sebagai ukuran yang tetap dan tidak berubah-ubah. Oleh itu
memperbaikkan budi pekerti mesti berlandaskan kepada kebahagian dunia
dan akhirat bukannya di dunia sahaja.
Sehubungan dengan ini maka pembentukan seseorang mestilah bermula
daripada alam kana-kanak lagi yang ditekankan pendidikannya bukannya
dilepaskan memilih sendiri haluan hidup dengan jiwanya kosong kerana ini akan
merosakkan anak itu sendiri. Seterusnya Imam Ghazali berkata tentang
perkara ini :
" Apabila jiwa seseorang telah biasa dengan merasakan yang enak-enak
dan yang jahat sahaja maka sudah pasti jiwa itu tidak akan dapat
nmenerima yang baik dan benar dan ia tidak dapat dikembalikan kepada keadaan
yang lebih berat seperti beramal dan bersungguh. Jiwa yang tercela itu
akan dimilikinya secara terus-menerus sekali pun bertentangan dengan
tabiat baik manusia. Kegemaran kepada hikmah, cinta kepada Allah serta
beribadat kepadaNya adalah kegemaran seperti kegemaran kepada makanan dan
minuman yang berkhasiat kepada manusia sekali pun bertentangan dan
menyimpang daripada kebiasaan liar seseorang manusia dan juga bertentangan
dengan hawa nafsu yang telah menjadi kebiasaannya".
Imam Ghazali mengakui bahawa ada manusia yang dilahirkan telah
mempunyai budi pekerti yang baik sebagai fitrahnya di mana tidak memerlukan
kepada pendidikan dan pengajaran seperpti Nabi Isa, Yahya dan para nabi
yang lain dan ia merupakan keistemewaan. Sedangkan manusia yang lain
hanya mencapai budi pekerti yang baik jika dia berusaha ke arah itu di mana
hanya sedikit anak-anak yang dilahirkan dalam keadaan mereka itu benar,
fasih berbicara, pemurah dan berani.
Sehubungan dengan itu, jalan atau cara yang dipilih oleh Imam Ghazali
dalam membentuk budi pekerti ialah dinamakan takhalluk yang bererti
sentiasa mendorong jiwa itu kepada perbuatan-perbuatan yang bersesuaian
dengan akhlak yang hendak dimiliki. Umpamanya sesiapa yang hendak memiliki
sifat pemurah maka dia mesti sentiasa berusaha melakukan perbuatan yang
bersifat pemurah seperti membelanjakan harta untuk pekerjaan yang baik
sehingga menjadi suatu tabiat yang melekat pada dirinya. Perbuatan
seperti ini banyak ditunjukkan oleh Imam Ghazali dalam ajarannya yang
dinamakan riyadhah yang bererti latihan membiasakan diri. Oleh kerana itu, 2
bahagian penting dalam kitabnya Ihya’ yang perlu diperhatikan dalam
usaha pembaikian budi pekerti iaitu Riyadh al-Nasyi’ yang bermakna
latihan peribadi umum da Riyadh al-Sibyan yang bermaksud latihan budi
pekerti anak-anak.
Memang terlalu banyak dalam karya beliau yang menganjurkan latihan jiwa
kerana menurut pendapatnya bahawa budi pekerti yang baik itu hanya
dapat dicapai dengan mengerjakan latihan dan usaha termasuk keanehan jiwa
dan anggota. Beliau berkata bahawa segala sifat yang terdapat dalam hati
akan mampu memberikan kesan kepada anggota badan yang zahir yang hanya
bergerak sesuai dengan sifat tersebut dan sebaliknya setiap gerak-geri
anggota kasar mengalihkan perasaannya sampai ke hati. Imam Ghazali
berpendirian bahawa mengubahkan sesuatu budi pekerti manusia itu sangat
mungkin boleh berlaku dalam pelaksanaannya sehingga budi pekerti yang baik
seseorang itu dapat ditumbuhkan dengan menghilangkan sifat kejinya.
Sebagai alasan, beliau mengemukakan hadis yang bermaksud : "
Perbaikilah akhlakmu" dan menambah hujahnya bahawa jika kelakuan itu tidak
mungkin mampu berubah sudah tentu nabi Muhamamd s.a.w tidak memerintahkan
sebagaimana hadis tersebut.
Seterusnya tiada guna lagi usaha nasihat menasihati sebagaimana tiada
faedah adanya hadis yang memberi pengajaran, janji kesenangan untuk
mereka yang berbuat baik dan ancaman keras bagi mereka yang berbuat jahat
seperti manusia berjaya mengubah tingkahlaku binatang liar menjadi
binatang jinak .
No comments:
Post a Comment