1) Ali-Imran [173] Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)
Orang Islam minoriti (sedikit) dari dulu hingga kini tapi iman, takwa dan tawakkal mereka (orang dahulu) sangat kuat.
Sebaliknya dalam Perang Hunain, Islam kalah walaupun ramai kerana lupakan Allah:
Akhirnya Islam menang kerana “contact” mereka dengan Allah sangat kuat:At-Taubah [25] Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri
2) Ali-Imran [174]Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Orang Islam menang kerana mereka takut hanya kepada Allah:
3) Ali-Imran [175] Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
4) Ali-Imran [176] Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik iaitu Syurga) pada hari akhirat kelak dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar
Allah pujuk Nabi supaya jangan dukacita dengan orang yang menjadi kafir. Kalau Allah mahu, dia boleh jadikan semua orang beriman
Yunus [99] Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
Jangan hidup cara orang kafir terutamanya dalam perkara yang melalaikan kerana ia tidak diredhai Allah. Ikutlah cara Islam. Allah dan Nabi beritahu syariat dan tunjukkan jalan untuk selamatkan kita. Cuma hukum berbeza dari zaman umat dahulu dan umat sekarang. Seperti ubat yang diberikan doktor berbeza kadar dan dosnya mengikut keseriusan penyakit, begitulah hukum Allah. Umat dahulu lebih degil, maka lebih keraslah hukumannya, misalnya kena bunuh diri untuk bertaubat, mandi junub 7 kali untuk sekali berjunub.
Allah dan Nabi beritahu benda yang kita tidak nampak seperti Alam Barzakh dan Alam Akhirat. Nabi diperlihatkan dengan matanya sendiri Syurga dan Neraka semasa Mikraj. Imam Abu Hanifah kata kalau Nabi tidak diutuskan pun, wajib kita menyembah Allah dan cari Allah dengan menggunakan akal. Tapi Allah kasihan dan mahu tolong kita, diberikan guru iaitu Nabi.
Islam itu agama nasihat. Seorang Islam itu cermin kepada muslim yang lain.
Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: ‘Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai’ – hadis riwayat Muslim.
Berdakwahlah dan nasihatlah dengan cara yang hikmah, baik dan lemah lembut.
An-Nahl [125] Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk
Nabi Musa dan Nabi Harun disuruh berlemah lembut semasa menghadapi raja Firaun
Taha [44] Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.
Begitu juga dalam mendidik anak zaman sekarang. Berlemah lembut jugalah. Namun sediakan rotan di rumah (digantung) sekadar untuk mengertak kalau mereka malas beribadat. Dalam satu hadis lebih kurang maksudnya “ Tiada kebaikan/berkat rumah yang tiada rotan”
“….sesungguhnya mereka tidak sekali-kali dapat memberi mudarat kepada Allah sedikit pun”. Mudarat dan kebaikan itu ke atas diri mereka sendiri
“Man amila solehan falinafsihi, waman asa a fa alaiha”
Jaathiyah [15] (Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.
Fussilat [46] Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya
“Wala taziru wa ziratun wizra ukhra”
Faatir [18] Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri
5) Ali-Imran [177] Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.Kecuali kita yang mengajar orang itu ke arah kejahatan. Maka dapatlah saham dan bahagian dosa untuk kita. Fikirlah untuk kebaikan dan bagaimana untuk menambah-baikkan diri kita
Beli kufur iatu hidup cara kufur, buang iman.Allah tidak rugi walaupun mereka meninggalkan Islam. Allah tetap tuhan walaupun tiada makhluk. Allah tetap berkuasa mutlak.6) Ali-Imran 178] Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).
Islam tidak larang dan benci pangkat dan harta, tetapi berhati- hatilah dengan pangkat dan harta. Sebagaimana terjadi pada raja Namrud yang menentang Islam setelah diberi kuasa:
Baqarah [258] Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan
Kata seorang jutawan yang asalnya miskin “Dulu saya fakir saya ingat dalam duit ada segalanya, tapi setelah kaya saya sedar dalam agama ada segalanya”. Banyak duit banyaklah tanggungjawabnya (zakat, sedekah)
Allah sengaja panjangkan umur orang kafir seperti pemancing ikan yang beri umpan kepada ikan. Dibiarkan ikan itu makan umpan sehingga penat ikan itu, barulah ditarik ikan itu ke atas. Sengaja Allah beri kesihatan dan kemewahan kepada mereka kerana azab menanti mereka.
Nabi dan sahabat iaitu Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar hidup 63 tahun sahaja tapi umurnya diguna sepenuhnya untuk Islam. Berbeza dengan kafir yang dilanjutkan usia untuk menentang Allah. Kata orang kampung lebih baik mati dari hidup menambahkan dosa (dalam kekafiran).
No comments:
Post a Comment